1.0 PENGENALAN
Perpaduan yang dikecapi oleh masyarakat
berbilang kaum di Malaysia pada hari ini amatlah dicemburui oleh negara-negara
dunia yang lain. Apa tidaknya, Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami
oleh masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, agama,
budaya, etnik dan adat resamnya masih mampu untuk hidup bersama dalam satu
masyarakat dan komuniti sehingga ke hari ini. Lihat sahaja negara-negara
seperti Thailand, Mesir, Bahrain, Libya, Ukraine dan sebagainya kini masih lagi
mengalami krisis dan konflik dalaman seperti rusuhan kaum, revolusi dan
sebagainya. Apakah contoh-contoh diperlihatkan kepada kita pada hari ini masih
lagi tidak mampu membuka mata kita sebagai rakyat Malaysia mengenai pentingnya
erti perpaduan? Tepuk dada, tanyalah selera.
Ramai yang berpendapat bahawa
perpaduan kaum kita di Malaysia pada hari ini sedikit longgar berbanding dengan
tahun-tahun sebelumnya. Lihat sahaja di televisyen, media massa mahupun di
corong radio, hampir setiap hari yang menyatakan terdapatnya pertelingkahan dan
pergaduhan yang melibatkan hal-hal yang berkenaan politik, agama dan kaum
masing-masing. Perkara inikah yang perlu kita banga-banggakan menjelang ulang tahun
ke-57 kemerdekaan negara kita? Penulis juga turut mengakui akan perkara itu
kerana saban hari turut mengikuti senario dan perkembangan berita semasa tanah
air.
Dalam
konteks kepelbagaian agama di Malaysia, umumnya semua agama melarang
penganutnya melakukan jenayah dan terlibat dalam gejala-gejala sosial yang
membinasakan masyarakat sekeliling. Oleh itu, setiap masyarakat haruslah
sentiasa berusaha dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk menangani gejala
sosial ini sebelum ianya menjadi kudis merosakkan masyarakat dewasa kini.
Sehubungan dengan itu juga, institusi kekeluargaan haruslah diperkukukuhkan
lagi agar memainkan peranannya untuk meningkatkan penerapan nilai-nilai agama
dalam kalangan masyarakat kita. Perkara inilah yang amat dituntut oleh
pemimpin-pemimpin kita dalam usaha mereka untuk memacu negara ke arah matlamat
Wawasan 2020.
2. 0 ANALISIS ARTIKEL
Tajuk Artikel: “ Jahil Pengetahuan Agama Rencat Perpaduan
Kaum “
Pengarang Artikel:
Jami’ah Syukri
Sumber : Berita Harian
Online ( 6 Mac 2010, www.beritaharian.com )
Kamus Dewan Edisi Keempat menyifatkan “ Jahil “ itu bermaksud tidak mengetahui
atau tidak memahami sesuatu hal serta cetek pengetahuan. Dalam perspektif
Islam, konsep jahil ataupun jahiliyyah ini sebenarnya perlu difahami dengan
menurut perspektif yang ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.
Jahiliyyah bukanlah bodoh ilmu tetapi lebih jauh daripada itu.
Penulis bersetuju dengan pendapat
pengarang artikel tersebut dan berminat untuk mengupasnya dengan lebih lanjut. Hal
ini demikian kerana perkara seumpama ini kian berlaku dalam konteks kehidupan
bermasyarakat kita di Malaysia dewasa kini. Malah, jika isu ini tidak dibendung
segera, ia adalah ibarat api, kecil dijadikan kawan, besar menjadi lawan. Dalam
konteks yang diketengahkan oleh pengarang dalam artikelnya, beliau menyifatkan
individu yang mempunyai kejahilan dalam agama ini mempunyai sikap yang fanatik
terhadap agama masing-masing. Tanpa kita sedari, perkara ini boleh mendorong dan
mencetuskan perkara yang diingini dan sekaligus menggugat ketenteraman negara.
Prinsip Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan kepada Tuhan menuntut agar
setiap rakyat Malaysia memilik kepentingan dan kesedaran beragama seperti
mentaati ajaran Tuhan, nabi dan kitab suci agama masing-masing. Hal ini
demikian kerana agama memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah
masyarakat. Kebebasan beragama telah diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia,
Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan
menjalankan agamanya. Manakala Perkara 3 telah menetapkan bahawa Islam
merupakan agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh dipratikkan
dalam damai dan harmoni (Wikipedia Bahasa).
Umum sedia mengetahui bahawa hidup
beragama sememangnya cukup sinonim dengan kehidupan bermasyarakat di negara
kita. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah memastikan bahawa setiap dasar
yang dilaksanakan seharusnya mengambil kira setiap lapisan masyarakat serta
sensitiviti setiap penganut agama di Malaysia. Ibarat bunga kembang tak menjadi,
usaha murni kerajaan ini juga tidak terelak daripada mengalami pelbagai
permasalahan. Berlakunya insiden yang melibatkan isu-isu kontroversi seperti
menggugat sensitiviti agama Islam, Kristian, Hindu, Sikh dan Buddha ini sedikit
sebanyak telah mengganggu gugat usaha kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan
negara. Senario-senario seperti inilah yang acapkalinya terpampang di dada-dada
akhbar tempatan, media sosial dan lain-lain lagi.
Pada tahun 2010 yang lalu, kita
dikejutkan dengan beberapa insiden seperti tindakan pihak tertentu yang
membakar gereja, insiden empat kepala babi yang diletakan di perkarangan masjid
dan kepala lembu di kuil India. Malah baru-baru ini diikuti dengan isu kalimah
yang menjurus kepada peristiwa rampasan Bible di Selangor serta kutukan
pihak-pihak tertentu terhadap bunyi azan yang berkumandang. Realitinya jelas
telah menunjukkan bahawa sentimen keagamaan kini kian meruncing sekiranya tidak
dibendung sehingga ke akar umbi.
Penulis berpendapat bahawa isu-isu
kontroversi ini tercetus apabila terdapatnya segelintir individu yang kurang ilmu dan imannya cuba
untuk mentafsir sesuatu perkara itu tanpa memiliki landasan ilmu yang betul. Mereka
akan bertindak mengikut emosi sendiri sehinggalah sesuatu perkara yang dianggap
remeh menjadi kontroversi sehinggalah menimbulkan ketegangan, rusuhan dan
demonstrasi jalanan besar-besaran. Isu ini tercetus bukanlah disebabkan oleh agama
itu, tetapi disebabkan oleh penganut agama tersebut jahil.
Namun,
sebagai rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian dan keharmonian, kita tidak
seharusnya menjadikan perkara seumpama ini sebagai batu penghalang untuk kita
terus bercampur mahupun bergaul dengan rakan taulan kita yang berlainan
agama. Perkara ini demikian kerana pada
asasnya, setiap agama menuntut umatnya tidak kiralah Islam, Kristian, Hindu,
Buddha mahupun Sikh menggalakkan pengikutnya melakukan kebaikan dan mengutuk
segala keburukan yang wujud di muka bumi ini.
Tatkala Gaza dihujani bom dan
peluru, Amerika dilaporkan terus menyalurkan bantuan kewangan dan senjata
kepada Israel. Ahli Kongres Amerika memberikan lampu hijau dan menyatakan
sokongan penuh kepada rejim zionis. Umat Islam mahupun dunia khususnya di
Malaysia telah melaungkan kemarahan terhadap Israel dan sekutunya Amerika
Syarikat. Maka sehubungan dengan itu timbullah usaha dan kempen “Boikot Barangan Yahudi “ seperti
McDonald!
Penulis bukanlah tidak setuju dengan
usaha sesetengah pihak berusaha untuk memboikot barangan Yahudi. Ini kerana
penulis sendiri pun mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis yang melakukan
keganasan di Gaza. Tetapi berbalik kepada senario kita di Malaysia, usaha dan
kempen memboikot barangan Yahudi seperti McDonald ini jelas menampakkan
keganasan yang nyata diperlihatkan secara umum melalui laman sesawang Facebook (juga produk Yahudi) dan
sebagainya. Nyata, terdapat sesetengah pihak yang cuba menunjukkan perbuatan
ganas seperti berhimpun beramai-ramai di hadapan premis McDonald sambil
melaung-laungkan slogan anti-Israel. Malah ada yang bertindak ganas seperti
membaling dinding kaca McDonald sehingga pecah, memukul kerusi, meja dan
sebagainya. Alasannya, hanya dengan berbuat demikian sahajalah mereka dapat menunjukkan
protes kepada Israel serta membela nasib saudara-saudara di Gaza.
Gambar : Kempen boikot
McDonald di salah satu ibu negeri di Malaysia
Namun, pernahkah segelintir pihak
ini berfikir bahawa perbuatan mereka itu telah mengganggu ketenteraman awam?
Menggalakkan keganasan? Mereka tidak terfikir lagikah bahawa pekerja McDonald
yang mereka ancam selama ini terdiri daripada bumiputera Melayu-Islam yang
turut membayar zakat? Peristiwa ini sememangnya amat menyedihkan kerana penulis
telah menyaksikan berlakunya kelunturan budaya ketimuran yang kita amalkan
sejak zaman berzaman. Perkara ini dilihat sedikit sebanyak mampu menggugat
kedamaian dan perpaduan antara kaum di Malaysia. Fenomena ini tidak berlaku sekiranya
kita mempunyai kesedaran hasil daripada ilmu dan didikan agama yang telah kita
lalui. Pahit-pahit hempedu, pahit lagi
realiti kehidupan yang harus kita telan.
Isu dan konflik yang hangat melanda dunia berikutan tindakan
Amerika Syarikat melancarkan serangan dan ancaman kepada negara-negara Islam di
Timur Tengah dan disusuli kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza seringkali dikaitkan dengan peperangan antara
agama.
Persepsi seperti ini sekiranya terus menjadi bualan hangat
di kedai kopi mahupun bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pastinya
menimbulkan syak prasangka dalam masyarakat kita. Jangan kita lupa bahawa
negara-negara Barat ketika ini rata-rata mengamalkan konsep Sekularisme
dalam setiap dasar pentadbiran mereka. Dasar ini tetap dilaksanakan walaupun
hampir 90% daripada rakyatnya beragama Kristian. Konsep Sekularisme ini dilihat
menolak pembentukkan konsep negara Kristian kerana konsep ini melindungi kebebasan
hak beragama. Undang-undang negara yang berlandaskan prinsip sekularisme
merupakan satu perundangan yang tidak boleh dicabar oleh rakyatnya walaupun
beragama Kristian. Hal ini kerana mereka tidak melibatkan langsung hal-hal keagamaan
dalam pentadbirannya. Dalam erti kata yang lain, apabila Barat melancarkan
peperangan ke atas Islam, ramai di antara kita berpendapat bahawa negara-negara
Kristian melancarkan perang ke atas negara Islam. Perbincangan yang melibatkan
isu ini pastinya menjadi polemik dalam masyarakat kita yang berlainan agama.
Secara tidak langsung, timbulnya perbalahan dari aspek ini nyata mampu
menjadikan masyarakat kita kucar kacir.
Sumber : ms. Wikipedia.org
|
Gambar 2: Negara-negara Sekuler (label merah)
Melibatkan campur tangan kuasa
politik dalam hal-hal keagamaan ini dilihat bukan suatu langkah yang bijak. Apabila
kuasa politik campur tangan, cara fahaman sebilangan Muslim dan non-Muslim di
Malaysia tidak lagi berasaskan landasan ilmu agama yang betul, tetapi lebih
kepada sentimen dan mainan politik semata-mata. Fahaman politik yang berbeza
aliran juga acap kali menimbulkan perbalahan walaupun melibatkan individu yang
sama anutan agamanya. Realitinya kini, banyak isu-isu melibatkan hubungan
Muslim dan Non-Muslim menjadi calar ekoran sudut pandangan politik yang
berbeza.
Politik bukanlah suatu medium yang
mampu menyatupadukan rakyatnya dengan baik. Fahaman politik yang berbeza hanyalah
akan memecahbelahkan masyarakat kita. Lihat sahaja bagaimana keadaan dan
situasi politik di Thailand pada ketika ini. Berlakunya rusuhan, perebutan dan
penggulingan kuasa sudah cukup menggambarkan negara yang terkenal dengan
jolokan Gajah Putih itu ketika ini berada dalam keadaan huru-hara. Dalam segala
hal mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah, jalan yang terbaik
adalah merujuk kepada agama. Demi mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam
kehidupan bermasyarakat, masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agama
perlu dididik dengan nilai moral dan agama yang tinggi. Agama haruslah
dijadikan panduan hidup. Baru kehidupan bermasyarakat dapat kita semai dan
pupuk bersama untuk membentuk perpaduan kaum di Malaysia.
Sumber : http://dululainsekaranglain.com/
|
Gambar 3: Rusuhan di Thailand memaksa campur tangan tentera
Di sinilah terletaknya tanggungjawab orang yang berilmu
dalam kalangan pemimpin-pemimpin agama untuk mendampingi “golongan jahil” ini
memahami ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka,
pergaduhan dan pembunuhan. Ajaran Islam menuntut umatnya bekerjasama dalam
menangani gejala-gejala sosial. Hal ini demikian kerana Allah S.W.T melarang
umatnya berprasangka buruk, mencari kesalahan orang, membunuh dan sebagainya.
Menurut perspektif Kristian pula, setiap penganutnya disarankan untuk mencintai
kedamaian, mengasihi sesama manusia serta mengamalkan sikap memaafkan musuhnya.
Hal ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa setiap agama yang kita anuti ini
menggalakkan kita untuk hidup dalam keadaan harmonis, bermuafakat dan dan damai
sejahtera.
Berbanding dengan sistem pentadbiran yang dilaksanakan di
negara-negara sekular, kita pada hari ini amat bersyukur kerana perpaduan kita
dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi terjalin utuh meskipun munculnya
isu-isu yang tidak diingini. Penulis amat tertarik dengan hasil pena Dr. Soada
Abdul Rahman, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dalam menyemai
dan memupuk erti perpaduan di Malaysia, beliau menyatakan bahawa masyarakat
bukan Islam wajar diberikan perlindungan dalam negara Islam. Tambahnya lagi,
masyarakat bukan Islam juga perlu menghormati dan memahami sensitiviti orang
Islam dalam hal ehwal tradisi dan keagamaan. Selain itu, beliau juga berharap
agar orang Islam diharamkan menceroboh rumah ibadat orang-orang bukan Islam dan
memaksa mereka mengamalkan budaya dan tradisi agama Islam. Hal ini demikian
kerana Islam sendiri menekankan aspek-aspek mengajar manusia supaya menjadi
masyarakat berilmu dan bertamadun (Utusan
Online, 1 Oktober 2010).
Kesimpulannya, penekanan terhadap aspek nilai dan pemahaman
konsep keagamaan perlu diberi perhatian yang sewajarnya dalam membentuk
generasi muda mengikut acuan negara. Kefahaman tentang aspek nilai dan
keagamaan yang longgar telah menyumbang kepada ledakan gejala-gejala sosial seperti
jenayah, salah laku remaja dan pembabitan remaja dalam gejala-gejala negatif.
Dalam erti kata yang lain, bidang pendidikan dikenal pasti sebagai agen
perubahan yang memainkan peranan utama ke arah pembinaan negara bangsa.
3.0 KELEBIHAN ARTIKEL
Ruang
penulisan artikel agama di dada-dada akhbar bercetak mahu pun secara online di
Malaysia dewasa kini semakin berkembang pesat. Ruangan di akhbar Berita Harian
misalnya merupakan sisipan wajib disiarkan saban hari. Menurut Norrodzoh Siren
(2006), penulisan yang berkaitan dengan rencana keagamaan mampu mempengaruhi
daya pemikiran dan peningkatan kebolehan berfikir serta intelektual seseorang.
Apatah lagi jika sekiranya perkara yang ditulis itu mampu menambahkan lagi
keimanan kepada pembaca yang terdiri daripada pelbagai agama dan anutan.
Penulis cukup mengagumi gaya
penulisan Jami’ah Syukri yang bertajuk “
Jahil Pengetahuan Agama Rencat Perpaduan “ bersiar di Berita Harian Online
pada 6 Mac 2010 yang lalu. Gaya penulisannya cukup matang. Beliau menyampaikan
isi rencananya dengan gaya bahasa yang bersahaja dan jelas untuk memudahkan
fahaman pembaca. Di dalam artikelnya, beliau cukup lantang menyuarakan pendapat
mengenai kejahilan individu dalam beragama seringkali menimbulkan permasalahan
yang mampu mengganggu gugat perpaduan antara kaum. Penulisannya tidak berfokuskan mengenai Islam
semata-mata. Malahan beliau turut menyelitkan pandangan dan pendapat ahli-ahli
agama dari pelbagai perspektif seperti Kristian, Buddha, Sikh dan Hindu. Penulis
melihat perkara ini amat relevan kerana mengambil pendapat dan kefahaman
daripada pelbagai pespektif agama-agama lain.
4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Penulis
berpendapat bahawa polemik seperti ini perlu dihentikan segera sebelum ia
membarahi masyarakat. Isu kalimah Allah dan rampasan Bibble di Selangor perlu
diselesaikan secara aman .Kerajaan perlu mengeluarkan arahan kepada semua media
arus perdana agar berhenti daripada menyiarkan kenyataan dan pandangan daripada
individu-individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam isu Allah daripada semua
pihak. Ini bukan bermaksud menghalang hak kebebasan bersuara, tetapi bertujuan
untuk mencegah “ silap bercakap “ akibat tiada kepakaran dan
maklumat yang mandalam mengenai isu ini yang secara langsung akan memberikan
kesan ketidakharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Perselisihan faham antara kaum dapat
dielakkan dengan mempelbagaikan lagi program-program yang mewajibkan setiap
kaum melibatkan diri. Program-program sosial ini perlulah merangkumi
aktiviti-aktiviti yang berunsurkan nilai pemupukan perpaduan. Program-program
yang dilihat mampu memupuk perpaduan ini perlu diperbanyakkan dan diamalkan
selalu bagi memastikan setiap kaum yang berlainan agama dapat menyemai perasaan
saling hormat menghormati.
Penulis merasa amat kagum dengan
keharmonian dan perpaduan kaum di negeri Sarawak dan Sabah. Realitinya, amat
jarang isu-isu dan polemik yang berkaitan dengan sentimen keagamaan menjadi
perbalahan dalam kalangan rakyatnya. Hal ini demikian kerana pemimpin-pemimpin
di negeri itu bijak dalam mengendalikan perkara-perkara seumpama ini. Di
Sarawak misalnya, Ketua Menteri iaitu Tan Sri Adenan Haji Satem melarang
sekeras-kerasnya golongan yang ekstermis agama dan perkauman memasuki Sarawak.
Beliau menyatakan bahawa unsur-unsur inilah yang menjadi virus merosakkan
masyarakat dan perpaduan di Sarawak. Pendirian tegas itu bagi memastikan
elemen-elemen negatif itu tidak menjejaskan keharmonian dan sosial di Sarawak.
Di sudut hati kecil penulis amatlah mengharapkan agar pemimpin-pemimpin negara
kita mengenakan tindakan segera terhadap perilaku-perilaku terhadap gejala ini.
Sumber : The Borneo Post
|
Gambar 4: Kenyataan akhbar yang membuktikan rakyat Sabah
dan Sarawak masih mampu mengekalkan perpaduan.
Peranan ibu bapa, guru dan
masyarakat khususnya amat penting bagi menerapkan semangat patriotisme dalam
kalangan anak-anak. Bak kata pepatah “kalau
nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sejak dari usia kanak-kanak,
ibu bapa perlu mendorong anak-anak untuk bergaul sesama masyarakat yang terdiri
daripada pelbagai etnik dan agama. Hakikatnya, kita akan sentiasa hidup dalam
keadaan selesa dan aman damai sekiranya kita berusaha untuk mencegah perkara
yang tidak kita ingini dalam kehidupan bermasyarakat sejak awal permulaannya
lagi.
Kesimpulannya, peranan agama dalam masyarakat tidak dapat
dinafikan sekiranya kita semua inginkan sebuah negara yang aman damai dan
makmur. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi
memastikan negara ini aman dan mendapat restu Ilahi.
5.0 PENUTUP
Hubungan
etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang
mempunyai kepelbagaian dari segi agama, budaya, bahasa dan etnik. Hal ini demikian
kerana amalan dalam hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi
mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara. Perpaduan dan
integrasi nasional penting supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada usaha
untuk memajukan negara daripada digunakan untuk menyelesaikan masalah yang
timbul daripada kepelbagaian etnik. Umum sedia mengetahui bahawa banyak dugaan
dan cabaran yang telah negara lalui sejak kita mencapai kemerdekaan sejak 57
tahun yang lalu. Peristiwa berdarah pada Mei 1969 yang lalu harus kita jadikan
pengajaran dan teladan mengenai betapa pentingnya kita mewujudkan persepakatan
antara kaum. Tema hari kemerdekaan kita yang ke 57 pada tahun ini “Malaysia…Di sini lahirnya sebuah cinta” wajar kita fahami dan memerlukan penghayatan yang mendalami
dari segenap lapisan masyarakat kita. Ia mengajar kita mengenai pentingnya rasa
cinta pada keluarga, agama, masyarakat dan negara yang tercinta.
Bersama-samalah kita memupuk rasa cinta kita kepada perpaduan negara!
Bibliografi
Norrodzoh
Siren (2006), “Retorik Penulisan Dakwah”,
dalam Dakwah Islam Semasa konsep dan Pelaksanaan, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, halaman 69.
Mahdi
Shuid et al (2010), Pendidikan Negara Bangsa Malaysia,
Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. Selangor
Darul Ehsan.
Mohd
Yusof Kasim & Sabihah Osman ( 2002
), Sabah dan Sarawak dalam Arus
Globalisasi, Penerbit:
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Jamal
Abd. Hadi et. al ( 1995 ), Sejarah
Islam Dicemari Zionis dan Orientalis. Gema Insani Press. Jakarta Indonesia.
R.
Garaudy (1995), Zionis : Sebuah Gerakan
Keagamaan dan Politik. Gema Insani Press, Jakarta
Indonesia.
LAMPIRAN