Selasa, 7 Februari 2017

Hubungan Etnik di Malaysia

1.0 PENGENALAN

 Perpaduan yang dikecapi oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia pada hari ini amatlah dicemburui oleh negara-negara dunia yang lain. Apa tidaknya, Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, agama, budaya, etnik dan adat resamnya masih mampu untuk hidup bersama dalam satu masyarakat dan komuniti sehingga ke hari ini. Lihat sahaja negara-negara seperti Thailand, Mesir, Bahrain, Libya, Ukraine dan sebagainya kini masih lagi mengalami krisis dan konflik dalaman seperti rusuhan kaum, revolusi dan sebagainya. Apakah contoh-contoh diperlihatkan kepada kita pada hari ini masih lagi tidak mampu membuka mata kita sebagai rakyat Malaysia mengenai pentingnya erti perpaduan? Tepuk dada, tanyalah selera.
            Ramai yang berpendapat bahawa perpaduan kaum kita di Malaysia pada hari ini sedikit longgar berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Lihat sahaja di televisyen, media massa mahupun di corong radio, hampir setiap hari yang menyatakan terdapatnya pertelingkahan dan pergaduhan yang melibatkan hal-hal yang berkenaan politik, agama dan kaum masing-masing. Perkara inikah yang perlu kita banga-banggakan menjelang ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara kita? Penulis juga turut mengakui akan perkara itu kerana saban hari turut mengikuti senario dan perkembangan berita semasa tanah air.
            Dalam konteks kepelbagaian agama di Malaysia, umumnya semua agama melarang penganutnya melakukan jenayah dan terlibat dalam gejala-gejala sosial yang membinasakan masyarakat sekeliling. Oleh itu, setiap masyarakat haruslah sentiasa berusaha dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk menangani gejala sosial ini sebelum ianya menjadi kudis merosakkan masyarakat dewasa kini. Sehubungan dengan itu juga, institusi kekeluargaan haruslah diperkukukuhkan lagi agar memainkan peranannya untuk meningkatkan penerapan nilai-nilai agama dalam kalangan masyarakat kita. Perkara inilah yang amat dituntut oleh pemimpin-pemimpin kita dalam usaha mereka untuk memacu negara ke arah matlamat Wawasan 2020.

2. 0 ANALISIS ARTIKEL
Tajuk Artikel: “ Jahil Pengetahuan Agama Rencat Perpaduan Kaum “
Pengarang Artikel: Jami’ah Syukri
Sumber : Berita Harian Online ( 6 Mac 2010, www.beritaharian.com )

Kamus Dewan Edisi Keempat menyifatkan “ Jahil “ itu bermaksud tidak mengetahui atau tidak memahami sesuatu hal serta cetek pengetahuan. Dalam perspektif Islam, konsep jahil ataupun jahiliyyah ini sebenarnya perlu difahami dengan menurut perspektif yang ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Jahiliyyah bukanlah bodoh ilmu tetapi lebih jauh daripada itu.
            Penulis bersetuju dengan pendapat pengarang artikel tersebut dan berminat untuk mengupasnya dengan lebih lanjut. Hal ini demikian kerana perkara seumpama ini kian berlaku dalam konteks kehidupan bermasyarakat kita di Malaysia dewasa kini. Malah, jika isu ini tidak dibendung segera, ia adalah ibarat api, kecil dijadikan kawan, besar menjadi lawan. Dalam konteks yang diketengahkan oleh pengarang dalam artikelnya, beliau menyifatkan individu yang mempunyai kejahilan dalam agama ini mempunyai sikap yang fanatik terhadap agama masing-masing. Tanpa kita sedari, perkara ini boleh mendorong dan mencetuskan perkara yang diingini dan sekaligus menggugat ketenteraman negara.
            Prinsip Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan kepada Tuhan menuntut agar setiap rakyat Malaysia memilik kepentingan dan kesedaran beragama seperti mentaati ajaran Tuhan, nabi dan kitab suci agama masing-masing. Hal ini demikian kerana agama memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Kebebasan beragama telah diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya. Manakala Perkara 3 telah menetapkan bahawa Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh dipratikkan dalam damai dan harmoni (Wikipedia Bahasa).
            Umum sedia mengetahui bahawa hidup beragama sememangnya cukup sinonim dengan kehidupan bermasyarakat di negara kita. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah memastikan bahawa setiap dasar yang dilaksanakan seharusnya mengambil kira setiap lapisan masyarakat serta sensitiviti setiap penganut agama di Malaysia. Ibarat bunga kembang tak menjadi, usaha murni kerajaan ini juga tidak terelak daripada mengalami pelbagai permasalahan. Berlakunya insiden yang melibatkan isu-isu kontroversi seperti menggugat sensitiviti agama Islam, Kristian, Hindu, Sikh dan Buddha ini sedikit sebanyak telah mengganggu gugat usaha kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan negara. Senario-senario seperti inilah yang acapkalinya terpampang di dada-dada akhbar tempatan, media sosial dan lain-lain lagi.
            Pada tahun 2010 yang lalu, kita dikejutkan dengan beberapa insiden seperti tindakan pihak tertentu yang membakar gereja, insiden empat kepala babi yang diletakan di perkarangan masjid dan kepala lembu di kuil India. Malah baru-baru ini diikuti dengan isu kalimah yang menjurus kepada peristiwa rampasan Bible di Selangor serta kutukan pihak-pihak tertentu terhadap bunyi azan yang berkumandang. Realitinya jelas telah menunjukkan bahawa sentimen keagamaan kini kian meruncing sekiranya tidak dibendung sehingga ke akar umbi.
            Penulis berpendapat bahawa isu-isu kontroversi ini tercetus apabila terdapatnya segelintir  individu yang kurang ilmu dan imannya cuba untuk mentafsir sesuatu perkara itu tanpa memiliki landasan ilmu yang betul. Mereka akan bertindak mengikut emosi sendiri sehinggalah sesuatu perkara yang dianggap remeh menjadi kontroversi sehinggalah menimbulkan ketegangan, rusuhan dan demonstrasi jalanan besar-besaran. Isu ini tercetus bukanlah disebabkan oleh agama itu, tetapi disebabkan oleh penganut agama tersebut jahil.
 Namun, sebagai rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian dan keharmonian, kita tidak seharusnya menjadikan perkara seumpama ini sebagai batu penghalang untuk kita terus bercampur mahupun bergaul dengan rakan taulan kita yang berlainan agama.  Perkara ini demikian kerana pada asasnya, setiap agama menuntut umatnya tidak kiralah Islam, Kristian, Hindu, Buddha mahupun Sikh menggalakkan pengikutnya melakukan kebaikan dan mengutuk segala keburukan yang wujud di muka bumi ini.
            Tatkala Gaza dihujani bom dan peluru, Amerika dilaporkan terus menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel. Ahli Kongres Amerika memberikan lampu hijau dan menyatakan sokongan penuh kepada rejim zionis. Umat Islam mahupun dunia khususnya di Malaysia telah melaungkan kemarahan terhadap Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Maka sehubungan dengan itu timbullah usaha dan kempen “Boikot Barangan Yahudi “ seperti McDonald!
            Penulis bukanlah tidak setuju dengan usaha sesetengah pihak berusaha untuk memboikot barangan Yahudi. Ini kerana penulis sendiri pun mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis yang melakukan keganasan di Gaza. Tetapi berbalik kepada senario kita di Malaysia, usaha dan kempen memboikot barangan Yahudi seperti McDonald ini jelas menampakkan keganasan yang nyata diperlihatkan secara umum melalui laman sesawang Facebook (juga produk Yahudi) dan sebagainya. Nyata, terdapat sesetengah pihak yang cuba menunjukkan perbuatan ganas seperti berhimpun beramai-ramai di hadapan premis McDonald sambil melaung-laungkan slogan anti-Israel. Malah ada yang bertindak ganas seperti membaling dinding kaca McDonald sehingga pecah, memukul kerusi, meja dan sebagainya. Alasannya, hanya dengan berbuat demikian sahajalah mereka dapat menunjukkan protes kepada Israel serta membela nasib saudara-saudara di Gaza.
Gambar : Kempen boikot McDonald di salah satu ibu negeri di Malaysia
            Namun, pernahkah segelintir pihak ini berfikir bahawa perbuatan mereka itu telah mengganggu ketenteraman awam? Menggalakkan keganasan? Mereka tidak terfikir lagikah bahawa pekerja McDonald yang mereka ancam selama ini terdiri daripada bumiputera Melayu-Islam yang turut membayar zakat? Peristiwa ini sememangnya amat menyedihkan kerana penulis telah menyaksikan berlakunya kelunturan budaya ketimuran yang kita amalkan sejak zaman berzaman. Perkara ini dilihat sedikit sebanyak mampu menggugat kedamaian dan perpaduan antara kaum di Malaysia. Fenomena ini tidak berlaku sekiranya kita mempunyai kesedaran hasil daripada ilmu dan didikan agama yang telah kita lalui.  Pahit-pahit hempedu, pahit lagi realiti kehidupan yang harus kita telan.
Isu dan konflik yang hangat melanda dunia berikutan tindakan Amerika Syarikat melancarkan serangan dan ancaman kepada negara-negara Islam di Timur Tengah dan disusuli kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza  seringkali dikaitkan dengan peperangan antara agama.
Persepsi seperti ini sekiranya terus menjadi bualan hangat di kedai kopi mahupun bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pastinya menimbulkan syak prasangka dalam masyarakat kita. Jangan kita lupa bahawa negara-negara Barat ketika ini rata-rata mengamalkan konsep Sekularisme dalam setiap dasar pentadbiran mereka. Dasar ini tetap dilaksanakan walaupun hampir 90% daripada rakyatnya beragama Kristian. Konsep Sekularisme ini dilihat menolak pembentukkan konsep negara Kristian kerana konsep ini melindungi kebebasan hak beragama. Undang-undang negara yang berlandaskan prinsip sekularisme merupakan satu perundangan yang tidak boleh dicabar oleh rakyatnya walaupun beragama Kristian. Hal ini kerana mereka tidak melibatkan langsung hal-hal keagamaan dalam pentadbirannya. Dalam erti kata yang lain, apabila Barat melancarkan peperangan ke atas Islam, ramai di antara kita berpendapat bahawa negara-negara Kristian melancarkan perang ke atas negara Islam. Perbincangan yang melibatkan isu ini pastinya menjadi polemik dalam masyarakat kita yang berlainan agama. Secara tidak langsung, timbulnya perbalahan dari aspek ini nyata mampu menjadikan masyarakat kita kucar kacir.
Sumber : ms. Wikipedia.org
Gambar 2: Negara-negara Sekuler (label merah)
            Melibatkan campur tangan kuasa politik dalam hal-hal keagamaan ini dilihat bukan suatu langkah yang bijak. Apabila kuasa politik campur tangan, cara fahaman sebilangan Muslim dan non-Muslim di Malaysia tidak lagi berasaskan landasan ilmu agama yang betul, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik semata-mata. Fahaman politik yang berbeza aliran juga acap kali menimbulkan perbalahan walaupun melibatkan individu yang sama anutan agamanya. Realitinya kini, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan Non-Muslim menjadi calar ekoran sudut pandangan politik yang berbeza.
            Politik bukanlah suatu medium yang mampu menyatupadukan rakyatnya dengan baik. Fahaman politik yang berbeza hanyalah akan memecahbelahkan masyarakat kita. Lihat sahaja bagaimana keadaan dan situasi politik di Thailand pada ketika ini. Berlakunya rusuhan, perebutan dan penggulingan kuasa sudah cukup menggambarkan negara yang terkenal dengan jolokan Gajah Putih itu ketika ini berada dalam keadaan huru-hara. Dalam segala hal mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah, jalan yang terbaik adalah merujuk kepada agama. Demi mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat, masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agama perlu dididik dengan nilai moral dan agama yang tinggi. Agama haruslah dijadikan panduan hidup. Baru kehidupan bermasyarakat dapat kita semai dan pupuk bersama untuk membentuk perpaduan kaum di Malaysia.
Sumber : http://dululainsekaranglain.com/
Gambar 3: Rusuhan di Thailand memaksa campur tangan tentera
Di sinilah terletaknya tanggungjawab orang yang berilmu dalam kalangan pemimpin-pemimpin agama untuk mendampingi “golongan jahil” ini memahami ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka, pergaduhan dan pembunuhan. Ajaran Islam menuntut umatnya bekerjasama dalam menangani gejala-gejala sosial. Hal ini demikian kerana Allah S.W.T melarang umatnya berprasangka buruk, mencari kesalahan orang, membunuh dan sebagainya. Menurut perspektif Kristian pula, setiap penganutnya disarankan untuk mencintai kedamaian, mengasihi sesama manusia serta mengamalkan sikap memaafkan musuhnya. Hal ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa setiap agama yang kita anuti ini menggalakkan kita untuk hidup dalam keadaan harmonis, bermuafakat dan dan damai sejahtera.
Berbanding dengan sistem pentadbiran yang dilaksanakan di negara-negara sekular, kita pada hari ini amat bersyukur kerana perpaduan kita dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi terjalin utuh meskipun munculnya isu-isu yang tidak diingini. Penulis amat tertarik dengan hasil pena Dr. Soada Abdul Rahman, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dalam menyemai dan memupuk erti perpaduan di Malaysia, beliau menyatakan bahawa masyarakat bukan Islam wajar diberikan perlindungan dalam negara Islam. Tambahnya lagi, masyarakat bukan Islam juga perlu menghormati dan memahami sensitiviti orang Islam dalam hal ehwal tradisi dan keagamaan. Selain itu, beliau juga berharap agar orang Islam diharamkan menceroboh rumah ibadat orang-orang bukan Islam dan memaksa mereka mengamalkan budaya dan tradisi agama Islam. Hal ini demikian kerana Islam sendiri menekankan aspek-aspek mengajar manusia supaya menjadi masyarakat berilmu dan bertamadun (Utusan Online, 1 Oktober 2010).
Kesimpulannya, penekanan terhadap aspek nilai dan pemahaman konsep keagamaan perlu diberi perhatian yang sewajarnya dalam membentuk generasi muda mengikut acuan negara. Kefahaman tentang aspek nilai dan keagamaan yang longgar telah menyumbang kepada ledakan gejala-gejala sosial seperti jenayah, salah laku remaja dan pembabitan remaja dalam gejala-gejala negatif. Dalam erti kata yang lain, bidang pendidikan dikenal pasti sebagai agen perubahan yang memainkan peranan utama ke arah pembinaan negara bangsa.

3.0 KELEBIHAN ARTIKEL
Ruang penulisan artikel agama di dada-dada akhbar bercetak mahu pun secara online di Malaysia dewasa kini semakin berkembang pesat. Ruangan di akhbar Berita Harian misalnya merupakan sisipan wajib disiarkan saban hari. Menurut Norrodzoh Siren (2006), penulisan yang berkaitan dengan rencana keagamaan mampu mempengaruhi daya pemikiran dan peningkatan kebolehan berfikir serta intelektual seseorang. Apatah lagi jika sekiranya perkara yang ditulis itu mampu menambahkan lagi keimanan kepada pembaca yang terdiri daripada pelbagai agama dan anutan.
            Penulis cukup mengagumi gaya penulisan Jami’ah Syukri yang bertajuk “ Jahil Pengetahuan Agama Rencat Perpaduan “ bersiar di Berita Harian Online pada 6 Mac 2010 yang lalu. Gaya penulisannya cukup matang. Beliau menyampaikan isi rencananya dengan gaya bahasa yang bersahaja dan jelas untuk memudahkan fahaman pembaca. Di dalam artikelnya, beliau cukup lantang menyuarakan pendapat mengenai kejahilan individu dalam beragama seringkali menimbulkan permasalahan yang mampu mengganggu gugat perpaduan antara kaum.  Penulisannya tidak berfokuskan mengenai Islam semata-mata. Malahan beliau turut menyelitkan pandangan dan pendapat ahli-ahli agama dari pelbagai perspektif seperti Kristian, Buddha, Sikh dan Hindu. Penulis melihat perkara ini amat relevan kerana mengambil pendapat dan kefahaman daripada pelbagai pespektif agama-agama lain.









4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Penulis berpendapat bahawa polemik seperti ini perlu dihentikan segera sebelum ia membarahi masyarakat. Isu kalimah Allah dan rampasan Bibble di Selangor perlu diselesaikan secara aman .Kerajaan perlu mengeluarkan arahan kepada semua media arus perdana agar berhenti daripada menyiarkan kenyataan dan pandangan daripada individu-individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam isu Allah daripada semua pihak. Ini bukan bermaksud menghalang hak kebebasan bersuara, tetapi bertujuan untuk mencegah “ silap bercakap “ akibat tiada kepakaran dan maklumat yang mandalam mengenai isu ini yang secara langsung akan memberikan kesan ketidakharmonian kaum dan agama di Malaysia.
            Perselisihan faham antara kaum dapat dielakkan dengan mempelbagaikan lagi program-program yang mewajibkan setiap kaum melibatkan diri. Program-program sosial ini perlulah merangkumi aktiviti-aktiviti yang berunsurkan nilai pemupukan perpaduan. Program-program yang dilihat mampu memupuk perpaduan ini perlu diperbanyakkan dan diamalkan selalu bagi memastikan setiap kaum yang berlainan agama dapat menyemai perasaan saling hormat menghormati.
            Penulis merasa amat kagum dengan keharmonian dan perpaduan kaum di negeri Sarawak dan Sabah. Realitinya, amat jarang isu-isu dan polemik yang berkaitan dengan sentimen keagamaan menjadi perbalahan dalam kalangan rakyatnya. Hal ini demikian kerana pemimpin-pemimpin di negeri itu bijak dalam mengendalikan perkara-perkara seumpama ini. Di Sarawak misalnya, Ketua Menteri iaitu Tan Sri Adenan Haji Satem melarang sekeras-kerasnya golongan yang ekstermis agama dan perkauman memasuki Sarawak. Beliau menyatakan bahawa unsur-unsur inilah yang menjadi virus merosakkan masyarakat dan perpaduan di Sarawak. Pendirian tegas itu bagi memastikan elemen-elemen negatif itu tidak menjejaskan keharmonian dan sosial di Sarawak. Di sudut hati kecil penulis amatlah mengharapkan agar pemimpin-pemimpin negara kita mengenakan tindakan segera terhadap perilaku-perilaku terhadap gejala ini.
Sumber : The Borneo Post
Gambar 4: Kenyataan akhbar yang membuktikan rakyat Sabah dan Sarawak masih mampu mengekalkan perpaduan.
            Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat khususnya amat penting bagi menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak. Bak kata pepatah “kalau nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sejak dari usia kanak-kanak, ibu bapa perlu mendorong anak-anak untuk bergaul sesama masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. Hakikatnya, kita akan sentiasa hidup dalam keadaan selesa dan aman damai sekiranya kita berusaha untuk mencegah perkara yang tidak kita ingini dalam kehidupan bermasyarakat sejak awal permulaannya lagi.
Kesimpulannya, peranan agama dalam masyarakat tidak dapat dinafikan sekiranya kita semua inginkan sebuah negara yang aman damai dan makmur. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi memastikan negara ini aman dan mendapat restu Ilahi.

5.0 PENUTUP
Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, budaya, bahasa dan etnik. Hal ini demikian kerana amalan dalam hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara. Perpaduan dan integrasi nasional penting supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada usaha untuk memajukan negara daripada digunakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada kepelbagaian etnik. Umum sedia mengetahui bahawa banyak dugaan dan cabaran yang telah negara lalui sejak kita mencapai kemerdekaan sejak 57 tahun yang lalu. Peristiwa berdarah pada Mei 1969 yang lalu harus kita jadikan pengajaran dan teladan mengenai betapa pentingnya kita mewujudkan persepakatan antara kaum. Tema hari kemerdekaan kita yang ke 57 pada tahun ini “Malaysia…Di sini lahirnya sebuah cinta”  wajar kita fahami  dan memerlukan penghayatan yang mendalami dari segenap lapisan masyarakat kita. Ia mengajar kita mengenai pentingnya rasa cinta pada keluarga, agama, masyarakat dan negara yang tercinta. Bersama-samalah kita memupuk rasa cinta kita kepada perpaduan negara!











Bibliografi
Norrodzoh Siren (2006), “Retorik Penulisan Dakwah”, dalam Dakwah Islam Semasa       konsep dan Pelaksanaan, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, halaman 69.
Mahdi Shuid et al (2010), Pendidikan Negara Bangsa Malaysia, Penerbitan Multimedia Sdn    Bhd. Selangor Darul Ehsan.
Mohd Yusof Kasim &  Sabihah Osman ( 2002 ), Sabah dan Sarawak dalam Arus Globalisasi,            Penerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Jamal Abd. Hadi  et. al ( 1995 ), Sejarah Islam Dicemari Zionis dan Orientalis. Gema Insani       Press. Jakarta Indonesia.
R. Garaudy (1995), Zionis : Sebuah Gerakan Keagamaan dan Politik. Gema Insani Press,             Jakarta Indonesia.















LAMPIRAN